Sijil Kematian : Apa Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Hilang ?
top of page
Cari
  • Writer's picturencorp harta

Sijil Kematian : Apa Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Hilang ?


Maksud Sijil Kematian.

Sijil kematian ialah suatu dokumen perakuan maklumat mengenai kematian seseorang individu. Di dalam sesuatu sijil kematian mengandungi maklumat seperti tarikh kematian, bagaimana individu tersebut meninggal dunia, individu yang melaporkan kematiannya serta dimana tempat meninggal dunia. Sijil kematian merupakan dokumen penting pembuktian kematian seseorang individu bagi membolehkan harta pusaka simati dibahagi dan diagihkan mengikut undang – undang.


Terdapat dua cara bagi pendaftaran kematian biasa (Semenanjung Malaysia) iaitu :

1. Pendaftaran melalui agensi pengesah kematian seperti hospital dan PDRM.

2. Pendaftaran melalui waris simati atau pemaklum / pelapor.


Bagi maklumat lanjut perincian mengenai tindakan/cara untuk mendaftar, dokumen yang perlu dikemukakan serta individu yang layak membuat permohonan / kutipan sijil kematian, boleh layari ke Portal Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara .



Dokumen Sijil Kematian Hilang Dalam Simpanan? Ini Cara Untuk Mendapatkannya Semula.

Sijil kematian asal yang hilang dalam simpanan boleh diperolehi semula salinannya dengan membuat Cabutan Kematian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Walaubagaimanapun, permohonan mendapatkan semula salinan sijil kematian adalah tertakluk kepada syarat – syarat tertentu dengan bayaran yang ditetapkan. Permohonan cabutan kematian ini boleh dibuat dimana – mana Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh semenanjung Malaysia.

Antara individu – individu yang ditetapkan boleh membuat permohonan :

1. Ibu atau bapa si mati

2. Suami atau isteri si mati

3. Anak kandung atau anak angkat yang sah bagi si mati

4. Adik beradik kandung si mati

5. Firma guaman

6. Badan berkanun

7. Agensi kerajaan

Permohonan dihadkan hanya kepada senarai individu dan agensi diatas sahaja bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan maklumat – maklumat yang terkandung di dalam sijil kematian tersebut.

Bagi mengetahui dokumen – dokumen yang diperlukan, bayaran yang dikenakan serta borang yang perlu diisi boleh layari ke Portal Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.



Persoalan Dan Permasalahan Yang Sering Berlaku Mengenai Sijil Kematian.



1.Adakah Cucu Boleh Mendapatkan Sijil Kematian Datuk / Nenek.


Berdasarkan senarai individu berkelayakan yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jawapannya ialah tidak boleh.


Namun begitu,sekiranya kesemua anak kandung kepada Datuk / Nenek ( bapa atau ibu saudara kepada cucu ) telah meninggal dunia , pihak cucu tersebut boleh mendapatkan semula salinan sijil kematian datuk / nenek melalui firma guaman. Firma guaman boleh membuat cabutan kematian bagi pihak cucu tersebut. Walaubagaimanapun. perkara tersebut tertakluk pada syarat – syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara kepada firma guaman.



2.Sijil Kematian tidak dapat dikesan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.


Sijil kematian kebiasaannya tidak dapat dikesan dalam rekod simpanan JPN apabila kematian sudah terlalu lama seperti kematian sebelum merdeka atau pada zaman pendudukan Jepun. Pihak JPN akan membuat semakan mengenai maklumat kematian samada di dalam sistem komputer data kematian ataupun buku rekod kematian ( bagi rekod kematian sebelum sistem perkomputeran dimulakan )


Jika individu yang telah lama meninggal mempunyai maklumat no. kad pengenalan, carian rekod kematian adalah lebih mudah ditemui kerana rekod kematian boleh dikesan berdasarkan no. kad pengenalan tersebut. Namun begitu, bagi si mati yang mempunyai nombor kad pengenalan ‘kertas’ seperti AR 12345 tidak akan dapat dicari oleh JPN kerana tiada data dimasukkan kedalam sistem data komputer atau buku rekod.

Bagi kes tiada seabarang no. kad pengenalan simati pula, carian cabutan kematian akan menjadi lebih sukar dan terdapat beberapa perincian maklumat yang tepat diperlukan. Antara perincian maklumat tepat yang diperlukan oleh pihak JPN bagi membuat carian dan mengeluarkan cabutan sijil kematian ialah:


i. Nama penuh si mati yang didaftar

ii. Tahun kematian

iii. Tempat di mana laporan kematian dibuat ( Contoh : Balai Polis Kupang, Kedah)

Sekiranya salah satu maklumat yang diberikan itu tidak tepat, maka sijil kematian seseorang individu itu tidak akan dapat dikesan. Sebagai contoh, kematian sesorang individu sepatutnya pada tahun 1970, tetapi dimaklumkan untuk carian kematian pada tahun 1973. Contoh lain ialah ejaan nama pada individu simati dimaklumkan berbeza walaupun satu huruf seperti Somad, tetapi dimaklumkan untuk carian ialah Somat.



Apa Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Rekod Kematian Tidak Dapat Dikesan oleh Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BILANGAN 26/2009



Pekeliling bertarikh 31 Disember 2009 telah dikeluarkan bagi membantu Pentadbir Tanah mengendalikan isu - isu berkaitan pembuktian kematian si mati yang sah.


Pekeliling tersebut menyatakan bahawa :


2. Kematian si mati boleh dibuktikan dengan mengemukakan salah satu daripada berikut mengikut keutamaan:–

i). a. Sijil Kematian yang asal - Seksyen 25 Kaedah 5A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957;


b. Sijil Kematian dari luar negara yang asal atau salinan yang diperakui oleh penyimpannya yang sah berserta suatu pengakuan yang dimeterai dengan meterai seorang Notari Awam atau seorang Pegawai Konsul Malaysia bahawa salinan itu adalah diperakui seperti dokumen asal mengikut undang-undang negara tersebut.

- Perenggan 78(1)(f) Akta Keterangan 1956.


Contoh Perakuan: Ini adalah Sijil Kematian yang dikeluarkan oleh Kerajaan/Pemerintah …………………. yang diperakui telah disempurnakan dan ditandatangani oleh pegawainya yang bertauliah mengikut undang- undang negara …………………..


ii) Salinan rasmi Sijil Kematian yang asal - Subseksyen 32 (1) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957;

iii) Permit menguburkan yang asal - Seksyen 64, Akta Keterangan 1950;


3. Jika dokumen-dokumen di perenggan 2(i), (ii) dan (iii) tidak dapat diperoleh tetapi kematian tersebut boleh dibuktikan dengan kenyataan saksi, kenyataan berkenaan bolehlah dibuat melalui afidavit yang difailkan oleh dua orang saksi bebas (iaitu mereka yang tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap harta pusaka si mati) menyatakan bahawa mereka telah melihat mayat si mati dan menghadiri upacara pengebumiannya. Selain itu, tidak menjadi halangan bagi dua orang saksi bebas berkenaan memberi keterangan secara lisan kepada Pentadbir Tanah semasa perbicaraan dan keterangan tersebut apabila direkodkan akan diterima sebagai bukti kematian.


4. Sekiranya bukti-bukti yang dinyatakan di perenggan 2 dan 3 tidak dapat dinyatakan, maka pembuktian kematian hendaklah melalui Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan seksyen 108 Akta Keterangan 1956.

5. Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 29/1977 dengan ini dibatalkan.



Kesimpulannya, kematian si mati yang sah secara lazimnya dibuktikan dengan sijil kematian dan permit perkuburan yang asal. Bagi waris yang kehilangan dokumen sijil kematian tersebut boleh mendapatkannya semula dengan membuat Cabutan Kematian berdasarkan syarat- syarat dan bayaran yang telah ditetapkan di Jabatan Pendaftaran Negara.


Sekiranya sijil kematian gagal dikesan setelah membuat carian semula di JPN, perenggan 3 pekeliling tersebut menyatakan bahawa kematian boleh dibuktikan dengan memfailkan affidavit kenyataan dua orang saksi bebas. Dalam konteks pusaka kecil kenyataan saksi dibuat melalui Surat Akuan Bersumpah. Saksi– saksi tersebut adalah tertaktluk kepada syarat – syarat seperti :


1. Tiada sebarang kepentingan terhadap harta pusaka si mati

2. Melihat Mayat / Jenazah si mati

3. Menghadiri upaca pengkebumian si mati


Namun begitu, mendapatkan saksi bebas yang memenuhi syarat diatas bagi seseuatu kematian yang telah lama seperti kematian sebelum zaman merdeka atau zaman pendudukan jepun adalah agak mustahil. Kemungkinan besar kesemua saksi telahpun meninggal dunia atau jika masih hidup sekalipun, ketika berlaku kematian saksi masih kecil dan belum mencapai umur dewasa.


Sekiranya pembuktian melalui sijil kematian, permit perkuburan dan dua orang saksi bebas tidak dapat dikemukakan, maka langkah terakhir adalah dengan mendapatkan Perintah Anggapan Kematian. Perintah ini dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut seksyen 108 Akta Keterangan 1956. Pihak waris boleh mencari dan berhubung dengan mana - mana firma guaman yang berpengalaman dalam mengendalikan kes Anggapan Kematian agar perintah diperoleh dapat segera menyelesaikan permasalahan harta pusaka yang telah lama tertangguh.






bottom of page