Sebab - Sebab Pewarisan Harta Pusaka (Bagi Beragama Islam)
top of page
Cari
  • Writer's picturencorp harta

Sebab - Sebab Pewarisan Harta Pusaka (Bagi Beragama Islam)




Di zaman jahiliyah iaitu sebelum kedatangan islam harta pewarisan hanya diberikan kepada lelaki sahaja yang berjuang mendapatkan harta rampasan perang dan mempertahankan kaum keluarga serta kabilah. Kaum wanita dan kanak – kanak langsung tidak diberikan hak untuk mewarisi harta kerana dianggap lemah dan tidak mampu untuk berperang.


Selain itu, anak angkat yang dinasabkan (dibinkan) kepada diri mereka diberikan hak untuk mewarisi harta peninggalan mereka.


Di zaman jahiliah juga berlaku saling mewarisi antara satu sama lain dengan adanya perjanjian sumpah setia atau ikatan janji antara dua orang atau lebih walaupun tiada hubungan kekeluargaan.


Namun begitu selepas kedatatangan islam, semua waris termasuk wanita dan kanak – kanak diberikan hak pewarisan harta pusaka peninggalan si mati. Terdapat tiga sebab pewarisan harta pusaka iaitu :




1. Hubungan Kerabat



Hubungan kerabat merujuk kepada orang yang mempunyai pertalian darah ataupun kelahiran. Susur galur sesebuah keturunan ini adalah penerima atau pewaris pusaka utama kerana kelahiran sah dan mempunyai pertalian darah. Sebagai contoh, anak – anak si mati, ibu, bapa, datuk dan sebagainya.


Oleh itu, walaupun anak angkat di binkan kepada si mati, mereka tidak akan dapat mewarisi harta pusaka kerana tiada pertalian darah. Bagi anak luar nikah dan anak lian pula dianggap anak tidak sah taraf tidak akan mewarisi pusaka bapanya tetapi boleh mewarisi pusaka ibunya.



2. Hubungan Perkahwinan



Perkahwinan bermaksud suatu akad yang menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan dan ditetapkan hak dan tanggungjawab masing – masing menurut syarak. Dengan itu lelaki atau suami berhak mempusakai harta perempuan atau isterinya dan sebaliknya.


Sekiranya berlaku penceraian, jika penceraian secara talak raj’ie ( talak satu atau dua dimana suami boleh rujuk tanpa akad nikah baru), isteri yang masih dalam tempoh iddah talak raj’ie masih berhak mewarisi harta pusaka suami. Si suami juga berhak ke atas harta pusaka bekas isterinya sekiranya bekas isterinya itu diceraikan dengan jenis talak raj’ie dan masih dalam tempoh iddah yang sama.


Untuk penceraian talak ba’in ( talak yang tidak boleh dirujuk semula. Jika hendak berkahwin semula , perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru selepas tamat iddah) pula, isteri tidak berhak mewarisi harta bekas suami dan begitu juga sebaliknya.


Kedua – dua jenis penceraian ini mengambil kira sama ada talak tersebut dilafazkan oleh si suami samada dalam keadaan sihat atau sakit yang boleh membawa kepada maut.



3. Wala’



Wala’ merujuk kepada hubungan kerabat yang timbul apabila seseorang memerdekakan seseorang hamba (pembebasan hamba). Keistimewaan ini diperoleh oleh bekas pemilik hamba di mana mereka memiliki hak untuk mewarisi harta bekas hamba yang dimerdekakannya samada lelaki ataupun perempuan.


Namun begitu, sesorang bekas hamba tidak akan mewarisi harta seseorang bekas pemilik hamba. Di zaman sekarang tiada lagi sistem perhambaan maka tiada lagi wala’ yang wujud.

bottom of page