Pengurusan harta pusaka merupakan suatu prosedur yang penting dan perlu difahami oleh setiap individu dalam sesebuah keluarga. Implikasi buruk sekiranya waris mengabaikan atau tidak memahami proses pentadbiran harta seperti menimbulkan konflik perebutan harta, wujud prasangka dan persengketaan diantara waris yang akhirnya menyebabkan pembahagian harta pusaka terus tertangguh dan tiada penyelesaian.
Mengumpul Maklumat dan Tuntutan Harta Pusaka Si Mati
Berikut adalah beberapa perkara asas yang perlu dilakukan dan diperolehi oleh pihak waris dalam menguruskan harta pusaka milik si mati :
1. Mengenal pasti segala Aset (Harta Alih dan Harta Tidak Alih)
Waris perlu mencari segala dokumen yang berkaitan aset – aset samada harta alih atau harta tak alih milik si mati. Dokumen – dokumen yang berkaitan adalah seperti berikut :
Harta Alih
Buku simpanan Bank
Penyata KWSP
Penyata Simpanan Saham
Polisi Takaful / Insurans
Harta Tak Alih
Geran Tanah / Rumah
Penjanjian Jual – Beli
Geran Kenderaan
Perlu dikenal pasti samada harta yang diuruskan oleh simati sewaktu hayatnya benar – benar miliknya atau tidak. Sebagai contoh, sewaktu masih hidup si mati ada menguruskan kebun – kebun getah yang dipajak dengan individu luar serta milik ibunya ( Ibu masih hidup ketika itu ), maka ianya bukanlah harta pusaka milik si mati kerana sewaktu hayatnya hanyalah diamanahkan untuk diuruskan dengan baik. Sekiranya ibu telah meninggal dunia sewaktu menguruskan kebun tersebut dan nama di geran tanah masih lagi nama ibu, maka perlu diselesaikan pembahagian pusaka ibu terlebih dahulu sebelum dimasukkan sebagai bahagian harta pusaka milik si mati.
2. Mengumpulkan segala liabiliti (Hutang)
Liabiliti yang dimaksudkan disini ialah hutang – hutang yang masih dalam tanggungan si mati. Hutang adalah sesuatu yang dipinjam (wang dll) samada daripada orang lain atau sesebuah institusi. Hutang tidak diwarisi dan wajib dibayar dengan harta yang masih milik si mati. Hutang simati boleh dibahagikan kepada dua iaitu hutang dengan individu dan hutang dengan institusi kewangan & Percukaian.
Hutang Dengan Individu
Waris – waris (Ibu, ayah, abang, kakak dll)
Rakan
Saudara – mara ( sepupu dll)
Sekiranya jelas si mati ada membuat pinjaman walau sekecil – kecil jumlah sekalipun dengan individu – individu diatas, waris yang menguruskan proses harta pusaka si mati boleh membuat catatan dalam pengurusannya dan membuat penolakan hutang terlebih dahulu sebelum membahagikan harta pusaka si mati. Individu – individu yang memberikan hutang kepada simati boleh tampil membuat tuntutan bagi memudahkan urusan kelak. Permasalahan mungkin timbul sekiranya pinjaman yang di oleh si mati tidak mempunyai dokumentasi atau sekadar secara lisan, namun hutang tetap perlu dibayar dan dimasukkan sebagai tuntutan dan penolakan sewaktu membahagikan harta si mati kelak.
Hutang dengan Institusi Kewangan & Percukaian.
Bank
Koperasi
LHDN
Kebanyakan individu masa kini pasti ada membuat pinjaman dengan institusi kewangan bertujuan untuk membeli sesebuah aset seperti pinjaman perumahan ataupun kegunaan peribadi /perniagaan seperti pinjaman peribadi / perniagaan. Sekiranya waris mengetahui si mati ada membuat pinjaman – pinjaman tersebut, maka waris perlu mencari mengenal pasti dokumen – dokumen berkaitan dengan pinjaman – pinjaman tersebut.
Perkara utama yang perlu disemak mengenai pinjaman yang dibuat si mati ialah sama ada pinjaman tersebut dilindungi atau tidak oleh pihak insurans/takaful. Waris perlu meneliti semula perjanjian dan membuat semakan dengan institusi kewangan bagaimana untuk segera menyelesaikan pinjaman tersebut sekiranya dilindungi oleh pihak insurans/takaful. Kelewatan berbuat demikian berkemungkinan menyebabkan polisi perlindungan insuran/takaful pinjaman si mati terbatal kerana telah tamat tempoh. Sekiranya tidak dilndungi oleh insurans/takaful, kegagalan untuk segera membuat pembayaran juga akan menyebabkan tunggakan serta faedah semakin bertambah.
Bagi percukaian pula, sebarang tunggakan cukai sewaktu hayat si mati diklasifikasikan sebagai hutang dan masih perlu dibayar. Taksiran tahunan cukai dibuat ke atas pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian individu tersebut. Lembaga Hsil dalam Negeri (LHDN) mempunyai kuasa untuk menuntu sebarang baki cukai tertunggak daripda waris atau pentadbir harta pusak mengikut seksyen 74 dan seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967. Oleh itu, waris perlu membuat semakan mengenai percukaian individu simati dan melunaskan tuntutan cukai ke atas si mati sebelum mengagihkan harta pusakanya.
3. Menentukan Tuntutan Harta Sepencarian dan Hibah
Harta sepencarian ialah harta samada harta alih atau harta tidak alih yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri yang sah. Harta sepencarian dinilai dan diambil kira melalui dua perkara iaitu :
Sumbangan Secara Langsung
Sumbangan secara langsung bermaksud kedua – dua pihak suami isteri sewaktu perkahwinanya itu telah bersama – sama memberikan dan mengeluarkan sumbangan mereka dalam memperolehi sesuatu harta. Sebagai contoh, kedua – dua pasangan suami isteri yang sama – sama bekerja dan memiliki pendapatan secara bersama berkongsi sumbangan modal wang untuk membeli sesuatu aset seperti rumah.
Sumbangan Secara Tidak Langsung
Sumbangan secara tidak langsung bermaksud sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi menghasilkan sesuatu harta. Salah seorang pasangan samada isteri atau suami secara tidak langsung memberikan sumbangan samada dalam bentuk memberi semangat, menjaga keselesaan dan ketenteraman dan sebagainya manakala pasangan satu lagi berusaha secara langsung mendapatkan aset tersebut. Sebagai contoh pihak isteri tidak bekerja namun memberikan sumbangan secara tidak langsung dengan menjaga keluarga dan anak – anak dengan baik , manakala pihak suami yang bekerja dan berpendapatan telah berjaya membeli dan menyediakan aset seperti rumah untuk kegunaan bersama. Walaupun pihak isteri tidak memberikan sumbangan modal wang dalam pemilikan harta pihak suami, namun si isteri tetap dianggap telah memberikan sumbangan secara tidak langsung terhadap pemilikan harta tersebut.
Hibah pula bermaksud suatu pemberian harta secara sukarela oleh sesorang individu kepada seseorang individu yang lain sewaktu tempoh hayatnya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Pemberian hibah perlu mengikut syarat – syarat yang telah ditetapkan seperti harta yang ingin dihibahkan, akad, pemberi dan penerima. Si mati sewaktu hayatnya boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapa sahaja yang dinginkan seperti isteri dan anak angkat.
Pemberian hibah tidak boleh disangkal oleh pihak waris kerana telah diberikan dan diserahkan sewaktu masih hidup. Namun begitu masalah mungkin timbul sekiranya proses pemberian hibah tidak dilengkapkan sepenuhnya atau tidak jelas. Sebagai contoh, seorang bapa hanya secara lisan memberitahu bahawa tanah yang dimiliki ingin dihibahkan kepada anak sulungnya, namun tidak membuat pertukaran nama di dalam geran. Perkara seperti ini perlu dibuat semakan di mahkamah bagi menentukan kesahihannya.
4. Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan
Wasiat bermaksud suatu amanat yang ditinggalkan oleh sesorang inidividu dan aakan dilakasanakan selepas kematiannya. Kebiasanya di dalam seseuatu wasiat individu akan mengandungi maklumat mengenai harta dan hutang yang ditinggalkan, kepada siapa ingin diberikan, bagaimana harta perlu dibahagikan kepada waris –warisnya serta nasihat terhadap waris supaya menggunakan harta yang ditinglkan dengan sebaiknya.
Waris boleh membuka dan membaca dokumen wasiat yang ditinggalkan oleh simati sekiranya ada. Wasiat juga perlu ditentukan kesahihannya terlebih dahulu samada mengiikut syarat – syarat yang telah ditetapkan (islam dan bukan islam), dan sekiranya sah, maka apa yang diperuntukan di dalam wasiat tersebut hendaklah dilakasanakan terlebih dahulu. Pengurusan harta pusaka si mati yang memiliki wasiat adalah lebih mudah dan cepat diuruskan berbanding harta pusaka yang tidak berwasiat kerana si mati sewaktu hayatnya telah menetapkan kepada siapa harta miliknya diberikan. Surat kuasa mentadbir sesuatu wasiat atau di kenali sebagai Probet dipohon di mahkamah bagi mentadbir harta pusaka simati yang berwasiat.
Walaubgaimanapun, wasiat masih boleh dicabar di mahkamah sekiranya terdapat waris- waris yang tidak berpuas hati atau bersetuju dangannya, Namun begitu, adalah sebaik – baiknya wasiat dikuti dan dilaksanakan sepenuhnya walaupun sukar menerima hakikatnya kerana ia merupakan amanat terakhir serta memudahkan proses penyelesaian harta pusaka si mati.
Kesimpulannya, sebelum memulakan proses pengurusan harta pusaka simati, segala maklumat senarai aset dan senarai liabiliti ( hutang ) haruslah di kumpulkan dan disemak maklumat semasanya terlebih dahulu. Selain itu, sekiranya terdapat tuntutan harta sepencarian dan hibah, perlulah dilaksanakan terlebih dahulu kerana ianya akan ditolak daripada jumlah harta pusaka si mati. Jika simati ada meninggalkan wasiat yang sah, maka waris boleh memilih untuk melaksanakannya bagi memudahkan proses pengurusan dan pembahagian harta pusaka si mati. Waris - waris boleh mengumpul maklumat - maklumat serta tuntutan yang diperlukan seperti dinyatakan diatas secara bersama atau melantik pihak peguam atau syarikat amanah sekiranya mengalami kebuntuan dan untuk mempercepatkan urusan seterusnya kelak.
Comments