Proses penyelesaian pusaka memerlukan penyediaan pelbagai dokumen yang lengkap supaya proses untuk mendapatkan perintah pembahagian pusaka berjalan dengan lancar. Secara amnya berikut adalah dokumen – dokumen yang perlu waris sediakan bagi tujuan penyelesaian pusaka samada pusaka kecil ataupun pusaka besar :
1.Carta / Salasilah Keluarga
- Salasilah keluarga merupakan sebuah carta yang menunjukkan sesebuah susur galur kekeluargaan waris – waris dalam bentuk pepohon. Didalamnya dinyatakan siapakah yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia (dinyatakan tahun) bagi memudahkan pengenalpastian siapakah waris – waris yang berhak dan berapakah jumlah bahagian yang akan diterima.
2.Salinan Kad Pengenalan Waris – Waris
- Setiap waris perlu mengemukakan salinan kad pengenalan bertujuan bagi menentu sahkan identiti serta alamat waris – waris. Jika alamat berbeza perlu dimaklumkan sewaktu permohonan dibuat.
- Bagi mana – mana waris yang hilang / tidak diketahui kedudukannya,maka perlu dibuat semakan dan carian kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara bagi mengetahui status semasa samada masih hidup atau tidak.
3.Salinan Sijil Kelahiran Waris – Waris
- Setiap waris perlu mengemukan sijil kelahiran masing – masing bagi menentu sahkan susur galur kekeluargaan. Di dalam sijil lahir ada menyatakan bukti siapakah ibu dan bapa bagi seseorang individu.
- Bagi yang telah kehilangan sijil kelahiran, boleh dibuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan pendua asal.
4.Salinan Perintah Pengangkatan / Sijil Pendaftaran Anak Angkat (Jika Ada)
- Salinan Perintah Pengangkatan adalah di bawah Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257] manakala Sijil Pendaftaran Anak Angkat di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253] bagi
bukan beragama Islam (jika berkaitan).
5.Sijil Nikah atau Daftar Perkahwinan (Jika telah bercerai – Sijil Cerai atau Perintah Cerai)
- Jika si mati telah berkahwin / bercerai sewaktu hayatnya, maka perlu disertakan bukti kahwin / cerai tersebut.
- Bagi yang berkahwin / cerai secara adat ( bukan islam ), jika tiada sebarang pendaftaran rasmi di buat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dibuat sewaktu hayat si mati maka perlulah mendapatkan perintah mahkamah tinggi bagi mengesahkan perkara tersebut terlebih dahulu.
6.Bukti Kematian
- Bukti kematian dikemukakan melalui sijil kematian yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
- Bagi yang telah hilang dalam simpanan, boleh dibuat carian cabutan semula di JPN. Pihak JPN hanya membenarkan individu keluarga terdekat sahaja seperti suami / isteri dan anak kandung serta peguam bagi membuat cabutan semula tersebut.
- Jika tiada sijil kematian yang ditemui atas sebab telah meninggal seperti meninggal sebelum merdeka atau hilang tanpa kubur / rekod diketahui, maka perlu mendapatkan perintah mahkamah ( Anggapan Kematian) terlebih dahulu bagi tujuan pengesahan.
7.Dokumen / Surat Wasiat (Jika Ada)
- Wasiat merupakan pemberian seseorang individu kepada individu atau pihak lain samada secara bertulis atau lisan setelah dia meninggal dunia.
- Jika terdapat keraguan terhadap dokumen / surat wasiat serta wasiat yang dibuat secara lisan, maka perlulah mendapatkan pengesahan daripada pihak mahkamah terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan wasiat yang dibuat.
8.Salinan Dokumen Berkaitan Aset
- Harta tak alih adalah seperti rumah dan tanah dimana pemilikan ditunjukkan didalam bentuk geran.
- Bagi harta tak alih jenis rumah dan tanah perlu membeli carian rasmi di pejabat tanah bagi membuktikan pemilikan semasa adalah benar masih nama si mati. Jika rumah atau tanah masih belum milikan penuh (masih dibawah pinjaman bank), maka perlu dikemukan bersama salinan perjanjian jual beli.
- Dokumen berkaitan harta alih pula adalah seperti penyata akaun simpanan dan pelaburan seperti tabung haji, sijil saham, polisi insurans dan takaful, hakmilik kenderaan , KWSP, maklumat koperasi, dan lain – lain.
9.Salinan Dokumen Berkaitan Liabiliti (Hutang)
- Dokumen yang membuktikan hutang simati seperti penyata kad kredit, perintah mahkamah (bankrupt) , surat perjanjian / pinjaman bank dan seumpamanya.
10.Surat Persetujuan Pelepasan Hak / Sijil Faraid (Jika Ada)
- Bagi beragama islam waris – waris boleh menentukan cara pembahagian samada melalui muafakat waris ataupun faraid, manakala yang bukan beragama islam berdasarkan akta pembahagian 1958.
- Jika mana - mana waris ingin melepaskan bahagian atau sebahagian kecil bahagiannya kepada waris yang lain boleh berbuat demikian dengan mengisi borang DDA ( perlepasan hak) ataupon akaun berkanun yang berkaitan.
Comentarios